Saturday 2 January 2016

SEJARAH KOLEJ TUNKU KURSHIAH







SEJARAH SEKOLAH


Penubuhan Kolej Tunku Kurshiah (yang pada mulanya dikenali sebagai Maktab Perempuan Melayu) telah disyorkan oleh Yang Berbahagia Dato Sheikh Ahmad  Al-Haj bin Sheikh Mustapha, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Persekutuan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada 13 Jun 1939. Pada suatu Mesyuarat Raja-Raja bagi Negeri-Negeri Bersekutu (Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) DYMM Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah Alhaj ibni Al-Marhum Sultan Alaidin Sulaiman Shah, D.M.N., D.K. (Brunei) K.C.M.G., juga telah mencadangkan supaya sebuah sekolah menengah Inggeris berasrama penuh untuk pelajar-pelajar perempuan Melayu ditubuhkan selaras dan setaraf dengan Maktab Melayu di Kuala Kangsar. Cadangan ini disokong oleh DYMM Sultan Perak, Paduka Sri Sultan Sir Abdul Aziz Al-Muktassim Billahi-Shah Almarhum Nikmatullah, ibni Almarhum Raja Muda Musa Al-Muktaram Shah, K.C.M.G., K.B.E., dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat.


Tujuan asal menubuhkan Maktab Perempuan Melayu adalah untuk memberi pendidikan yang menyeluruh kepada anak-anak raja dan pembesar-pembesar Melayu di Negeri-Negeri Bersekutu sebagai melengkapkan mereka menjadi isteri kepada raja-raja dan pembesar-pembesar negeri pada masa hadapan. DYMM Sultan Selangor mencadangkan sekolah itu dibina di Negeri Selangor. Pada mulanya maktab yang dicadangkan ini hanya untuk enam belas orang anak perempuan pembesar-pembesar Melayu dari empat buah negeri-negeri bersekutu sahaja. Bangunan Gracelyn di Batu 21/2 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur diubahsuai dan pembukaannya dirancang pada bulan Januari 1942.


Pada tahun 1941, apabila berlaku Perang Dunia kedua, segala usaha terpaksa ditunda sehingga tamat peperangan. Pihak kerajaan kemudian memutuskan untuk mengambil pelajar daripada semua negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) dengan memberi kelonggaran kepada tujuan asal penubuhan maktab. Sebuah bangunan lain iaitu asrama Maktab Teknik di Batu 2 ½ Jalan Damansara, Kuala Lumpur telah diubahsuai dan Maktab Perempuan Melayu dibuka kepada 40 orang penuntut pertama pada 16 haribulan Oktober 1947.


Pada bulan April 1962, seramai 150 orang pelajar Maktab Perempuan Melayu berhijrah ke bangunan kolej yang baharu di Bukit Merbah, Jalan Tunku Kurshiah, Seremban. Sekolah baharu ini dikenali dengan nama Kolej Tunku Kurshiah, menjunjung nama Y.M.M. Tunku Puan Besar Kurshiah, Raja Permaisuri Agong yang pertama. Bilangan pelajar telah dipertingkatkan kepada 400 orang.


Dasar kemasukan pelajar melalui berbagai-bagai perubahan dan sebagai kemajuan pada tahun 1967, Kolej memulakan kelas Tingkatan 6 Sastera. Dua tahun kemudian status Kolej dipertingkatkan ke taraf sekolah menengah tingggi dan Kolej tidak lagi mengambil masuk pelajar ke Tingkatan 1, tetapi menumpukan perhatian kepada pengambilan masuk pelajar terus ke Tingkatan 4 dan 6 sahaja. Pada tahun 1972, Kolej kembali kepada dasar lama dan pelajar diterima masuk ke Tingkatan 1 dan pada tahun itu Kolej mempunyai kelas Tingkatan 1, 4, 5 dan 6 Sastera dan Sains. Kelas A-level yang menggantikan kelas Tingkatan 6 pada tahun 1986 hanya kekal hingga tahun 1988 apabila pelajar lepasan SPM mendapat tawaran ke kelas matrikulasi di universiti atau ke Tingkatan 6 di sekolah lain.


Kronologi Enrolmen
Pada 16 Oktober 1947, 41 orang pelajar perempuan diterima masuk ke  tingkatan 1 dan  3 berdasarkan keputusan “Entrance Examination.
     
1967 - Pengambilan pelajar ke Tingkatan Enam Sastera dimulakan

1969 - Pengambilan pelajar ke Tingkatan Enam Sains dimulakan
Pengambilan pelajar  tingkatan 1 dihentikan

1972 - Pengambilan pelajar ke Tingkatan 1

1986 -  Kursus A-Level  dimulakan

1988 - Kursus A-Level dihentikan,
       Tambahan 1 kelas Sains Sosial Tingkatan 4 dimulakan

1997 -  Kelas Sains Sosial Tingkatan 4 dihentikan

2013 -  Tambahan 1 kelas Tingkatan 1,
Tambahan 2 kelas Tingkatan 4

2014  - Tambahan 1 kelas Tingkatan 2

2015 - Tambahan 1 kelas Tingkatan 3


Kini pengambilan pelajar Tingkatan 1 berdasarkan pencapaian 5A dalam peperiksaan UPSR serta penampilan perwatakan, daya kepimpinan, penglibatan dalam ko-kurikulum serta aktiviti kemasyarakatan di luar sekolah.


Pada tahun 2013, Kolej Tunku Kurshiah berpindah ke Bandar Enstek. The International Baccalaureate Middle Years Programme (MYPIB) diperkenalkan dan Kolej Tunku Kurshiah telah diberi status sebagai Candidate School. The International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP)  untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijangka bermula pada tahun 2016.


Di samping menjadi salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh, Kolej Tunku  Kurshiah telah diiktiraf sebagai Sekolah Bestari, Sekolah Kluster Kecemerlangan, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Berkecemerlangan Global dan Sekolah Amanah. Kolej Tunku Kurshiah juga telah terpilih sebagai sekolah yang menjalankan program TIMSS dan PISA.


8. LENCANA SEKOLAH



Lencana sekolah telah mula diguna pada tahun 1963.
Warna hijau yang menjadi latarbelakang lencana membawa maksud pelajar-pelajarnya semua beragama Islam dan sentiasa segar dan cergas.
Bendera Malaysia di bahagian atas bermaksud ia merangkumi negeri-negeri di Malaysia dan menunjukkan bahawa pelajar-pelajar datang dari semua negeri di Malaysia  termasuk Sabah dan Sarawak.
Lambang buku membawa maksud buku sebagai gedung / sumber ilmu pengetahuan.
Di bahagian bawah pula ada cogankata yang tertera Rajin dan Usaha Tangga Kemajuan.

9.  LAGU KOLEJ


Gubahan Jimmy Boyle


Kolej Tunku Kurshiah,
Kolej ulung di negara Malaysia,
Kami pelajar bersumpah,
Akan teguh patuh memeliharanya
Kolej Tunku Kurshiah,
Kolej mulia berjasa,
Moga-moga tuhan memberi rahmatnya,
Sentosa Kolej Tunku Kurshiah.


No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN

Salam.mohon maaf atas kesulitan.memandangkan pelajar T2 akan OB pada hari rabu,house meeting akan dijalankan pada hari selasa,16 April 2019,...